Pemimpin PAS saran kerakyatan sementara untuk Rohingya

Seorang pemimpin PAS menyarankan kerajaan memberi kerakyatan sementara kepada pelarian Rohingya supaya kebajikan asas etnik tertindas itu terjaga.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor meminta Malaysia untuk tidak terlalu kedekut untuk memberi kerakyatan sementara kepada Rohingya.
“Saya fikir tidak salah kita beri kerakyatan bertempoh sehingga mereka boleh kembali ke negara asal,” katanya.
“Dengan hak kerakyatan itu, mereka boleh guna perkhidmatan kesihatan dan pelajaran melalui undang-undang serta dapat perlindungan diri dan keluarga mereka,” katanya di forum bacara Harakah mengenai Rohingya hari ini.
Beliau salah seorang panelis di forum anjuran media rasmi PAS, Harakah, yang diadakan di kedai buku Bazar Harakah di ibu negara. Beliau tampil bersama Azmi Abdul Hamid, presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Prof Azamuddin Ibrahim, ketua bengkel di Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya.
Sanusi yang mengetuai delegasi PAS dalam misi “Food Flotilla for Myanmar” Februari lalu, berkata cadangan kerakyatan sementara ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara “model”.
“Saya pasti Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan negara lain yang turut menerima lambakan pelarian Rohingya tidak boleh meniru langkah memberi hak kerakyatan ini, jika ia dilaksanakan di Malaysia,” katanya.
“Dengan kelembutan dan kemurahan budi, saya yakin Malaysia boleh melaksanakannya.”
Malaysia pernah menghulurkan bantuan kepada pelarian Rohingya dalam bentuk sumbangan RM10 juta untuk usaha kemanusiaan, projek pemulihan sosial di Rakhine dan misi kemanusiaan “Food Flotilla for Myanmar”.
Pada Febuari lalu, seramai 149,496 pelarian Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia iaitu 56,458 warga Rohingya dan bakinya warga Myanmar.
Bulan lalu, Malaysia menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 yang disertai 180 delegasi daripada Asean dan Islam untuk mengkaji isu pelarian dan kesannya kepada geopolitik dunia, selain memberi cadangan penyelesaian strategik jangka pendek dan panjang.
Ia dianjurkan bersama oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia, Yayasan Amal Malaysia, Persekutuan Antarabangsa bagi Bantuan dan Pembangunan, serta Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa.