Majoriti MP : Serah saja kepada PH lebih bermaruah dari adakan PRU – Khairy Jamaluddin
Keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh terdekat ketika kes COVID-19 sedang meningkat dianggap sebagai tindakan sangat tidak bertanggungjawab, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pematuhan orang ramai dan orang kenamaan terhadap prosedur standard operasi (SOP) membendung penularan COVID-19 adalah amat longgar.
“Saya bercakap sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada pandangan saya, adalah sangat-sangat tidak sesuai untuk kita adakan Pilihan Raya Umum dalam masa yang terdekat. Tetapi, sudah tentu, jika sebagai ahli politik (jawapannya) lain lah.
“Jika PRN Sabah menjadi satu medan ujian untuk mengadakan Pilihan Raya Umum, saya nampak dari segi pematuhan SOP sama ada orang biasa atau orang kenamaan, terutama orang kenamaan, kita gagal,” katanya ketika diminta mengulas sama ada sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Redbeat Academy oleh AirAsia Digital dengan kerjasama Google di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Presiden (AirAsia Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar dan Ketua Google Malaysia, Marc Woo.
Berdasarkan perkembangan semasa penularan COVID-19 di Malaysia, terdapat peningkatan kes jangkitan virus itu sejurus PRN di Sabah dan menular ke Semenanjung dengan kini mendatangkan kebimbangan mengenai kesan mengadakan PRU dalam tempoh terdekat.
Berita penuh : BeritaHarian