Suami kejam rupanya ada 3 isteri? Mengaku tak bersalah belasah bini muda


Selepas seminggu dicekup polis, lelaki kejam yang memukul isteri ketiganya sehingga koma didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, namun Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa Jahidah Nordin@Sylvester.

Bagi memberi pengajaran kepada masyarakat, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000.

Mencari rezeki sebagai peniaga, tertuduh berusia 38 tahun yang tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan kerana menanggung tiga isteri dan tujuh anak.

Berikutan itu,  Hakim V M Mabel Sheela menetapkan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin selain tertuduh diminta melapor diri di balai polis berhampiran serta diarahkan tidak mengganggu mangsa.

ADVERTISEMENT

Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai depan dengan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh juga dikenakan denda.

Menerusi laman Facebook, adik kepada mangsa iaitu Fauziah Nordin memuat naik beberapa posting selepas membaca pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh.

Berapa ramai bini dia sebenarnya?

Mahkamah dunia kau boleh la menipu

Terdahulu, Rosmaini disyaki melakukan perbuatan tersebut di sebuah pangsapuri di Larkin, pada 4 Mei lalu sehingga mangsa yang hamil empat minggu masih belum sedarkan diri akibat kecederaan parah di beberapa bahagian fizikal.

Sumber: Harian Metro (Mohamed Farid Noh) , Facebook Fauziah Nordin , foto kredit (Bernama & Malaysia Gazette)