Hasrat balik kampung tak kesampaian, frontliner maut kereta jatuh paya


“Tidak sangka kehilangan abang sejak Isnin lalu berakhir dengan berita yang menyedihkan apabila dia ditemui tidak lagi bernyawa,” kata Syukran Mod Yusoff, 25.

Dia adalah adik kepada Abdullah Taifur Mohd Yusoff, 40, mangsa yang ditemui maut selepas kereta miliknya dipercayai terbabas masuk ke dalam paya dalam kejadian di Kampung Kuala Kwong, Jalan Lubok Stol- Rantau Panjang, jam 11.30 tengah hari, semalam.

Syukran berkata, abangya yang bekerja sebagai kakitangan hospital disyaki hilang sejak Isnin apabila dia tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi menyebabkan dia sekeluarga bimbang.

“Sebelum mengetahui kejadian sebenar, salah seorang adik beradik saya turut membuat laporan polis melaporkan kehilangan arwah, namun tidak menyangka apa yang kami takutkan, benar-benar terjadi.





“Arwah seorang yang sangat baik selain rapat dengan ibu, Che Zainun Che Daud, 64. Pemergiannya amat dirasai tetapi kami reda dan berdoa semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Syukran berkata jenazah abangnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Lembu, Salor, di Kota Bharu semalam, sebaik jenazah dituntut dari Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang kampung menyatakan menemui sebuah kereta terbabas masuk ke dalam paya di lokasi kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi benar terdapat kereta jenis Perodua Myvi berwarna kuning di dalam paya sedalam tiga meter. Dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, kereta dapat diangkat dan menemui mangsa yang sudah meninggal dunia.

“Hasil siasatan, mangsa dipercayai dari arah Lalang Pepuyu ke Rantau Panjang sebelum kereta miliknya tidak dapat dikawal dan terbabas ke dalam paya berkenaan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik HPM, dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa meninggal akibat lemas,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.