Nenek Tolak Semua Jenis Bantuan, Sanggup Guna Kudrat Jual Jajan

Dalam keadaan agak terdesak disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan, bantuan dihulurkan oleh kerajaan sangat membantu dalam memenuhi kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Namun, masih ada yang menolak bantuan tersebut kerana berasa terdapat individu lebih layak untuk menerimanya seperti seorang nenek yang tinggal di Seremban ini.
Huang Lai Mei sering dilihat di jalan raya sekitar Seremban sambil menolak kereta sorong yang menjual jajan di demi menampung kehidupan sehariannya.
Nenek berusia 72 tahun itu sangat ramah sehingga diberi gelaran ‘nenek jajan’ oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut. Dia telah menjual jajan dengan kereta sorong bertahun-tahun lamanya.
Huang tidak pernah meminta atau menerima bantuan daripada sebarang pihak sama ada dalam bentuk tunai atau makanan kerana dia ingin menampung keperluan seharian dengan usahanya sendiri.
Disebabkan PKP, keadaan menjadi sukar untuk Huang meneruskan perniagaan di jalanan tetapi dia tetap bekerja walaupun kurang mendapat hasilnya.
Dia mengatakan bahawa ramai yang berbaik hati menghulurkan bantuan dalam keadaan agak terdesak ini tetapi sentiasa menolak daripada menerimanya.
“Bekalan makanan saya cukup untuk menghidupi kehidupan saya. Jika saya ambil bantuan tersebut, orang yang lebih memerlukan tidak dapat makanan tersebut.
“Lagipun saya mampu untuk menampung diri dengan kudrat yang ada. Saya ada tangan, kaki dan mampu tampung diri sendiri,” ujarnya.