Guan Eng dituduh lupus tanah kerajaan RM208.7 juta secara curang
Pulau Pinang, BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa dengan dua pertuduhan baharu melupuskan harta tanah kerajaan bernilai lebih RM208.7 juta secara curang kepada dua syarikat.
Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi kesalahan melupuskan tanah kerajaan di Bandar Tanjong Pinang di Daerah Timor Laut itu yang didakwa berlaku pada 17 Februari 2015 itu,
Menurut pertuduhan pertama, satu daripada dua bidang tanah tersebut yang bernilai lebih RM135 juta didakwa dilupuskan kepada syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd
Manakala pertuduhan kedua adalah sebidang lagi tanah bernilai lebih RM73.7 juta didakwa dilupus kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.
Pendakwaan di Mahkamah Sesyen Butterworth itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun maksimum, sebat dan denda.
Beliau sebelum itu tiba di Mahkamah Butterworth pada kira-kira jam 10:40 pagi ditemani bapanya, Lim Kit Siang, isterinya, Betty Chew dan peguam Gobind Singh.
Ini merupakan pertuduhan keempat terhadap Lim Guan Eng semenjak kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Mac lepas.
Pada 7 Ogos, Lim di dakwa di mahkamah sama bagi tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan projek jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.
Pada 10 Ogos , Lim juga di mahkamah yang sama dituduh meminta suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion itu.
Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.
Manakala pada 11 Ogos, Lim kembali ke mahkamah sama bagi tuduhan mendapatkan rasuah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng. -Buletin TTKM-