Telefon tidak dijawab, suami maut nahas ketika pulang dari kerja


Seorang juruelektrik maut manakala rakan sekerjanya cedera selepas kereta Perodua Kenari dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di jalan di Kilometer 266.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Junazeni Taha, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Normasrie Aziz, 37, pula hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke rumah masing-masing di Kampung Binjai di sini selepas selesai melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di sekitar Kuantan, Pahang.

 








“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kenari dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan tangan kanan Junazeni putus selain tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, mayat Junazeni telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat manakala Muhammad Normasrie pula dirawat di unit kecemasan hospital sama. – K! ONLINE