Pukul isteri hingga koma, suami durjana ditangkap selepas 38 hari sembunyi


Selepas beberapa minggu diburu, seorang lelaki yang disyaki memukul isteri­nya sehingga koma dalam insiden pada 4 Mei lalu berjaya ditahan polis di Bandar Tun Razak, ibu kota pagi semalam.

Menerusi laporan Kosmo! Online, suspek yang berusia 38 tahun dicekup ketika keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal selepas hasil risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai peniaga telah bertindak agresif dengan me­langgar motosikal polis sehingga berlaku pergelutan namun anggota tersebut selamat, kata sumber.

Sumber memberitahu, suspek dipercayai menumpang rumah rakannya selama 38 hari untuk mengelakkan diri dikesan selepas menjadi buruan polis Johor.

Terdahulu, adik mangsa membuat pendedahan di laman Facebook sehingga tular mengenai nasib malang dialami oleh kakaknya itu yang sedang hamil empat minggu.

Mangsa yang berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala selain keretakan rahang, tulang belakang dan rusuk telah bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Bagaimanapun, mangsa yang baru tujuh bulan berkahwin sudah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Sungai Udang, Melaka namun masih tidak sedarkan diri.

Sumber: Kosmo! Online (Kredit foto: Media Mulia)