Pembatalan Ordinan Darurat sebelum perkenan Baginda, Agong zahir dukacita


Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2020 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda, lapor Astro Awani.

Perkara itu telah dikongsi menerusi sebuah kenyataan media di laman Facebook Istana Negara, hari ini.

“Gagal menghormati kedaulatan undang2”

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Selain itu, Baginda menyifatkan permohonan Pembatalan Ordinan Darurat itu sebagai keputusan yang tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan menyebabkan kekeliruan.

Baginda turut menegaskan tindakan tersebut gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara dan membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara.

 

Di akhir kenyataan, Baginda menyeru agar semua ahli Parlimen memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang sedang berlangsung bagi menangani krisis pandemik COVID-19 ketika ini.

Sumber: Astro Awani