Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan


Jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan selepas waktu Zohor kira-kira pukul 1.38 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak dekat sini sebentar tadi.

Suaminya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad turut kelihatan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mengiringi perjalanan akhir isterinya yang tercinta selain membantu urusan pengebumian.

Hanya petugas yang lengkap memakai PPE dilihat berada di bawah kawasan berbumbung hijau yang meneduhi liang lahad tempat jasad Allahyarhamah disemadikan.

Antara rakan artis yang dilihat hadir memberi penghormatan terakhir dari jauh ialah rakan pelawak, Rahim dengan anggota polis mengehadkan bilangan individu yang dibenarkan masuk ke perkarangan kawasan perkuburan.

Anggota polis turut memaklumkan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan berada di perkarangan tanah perkuburan dan mengingatkan semua yang hadir termasuk petugas media agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu van yang membawa jenazah Allahyarhamah tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas bergerak dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 12.13 tengah hari.

Siti Sarah, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan pada Selasa lalu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun dan ditidurkan usai melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ayash Affan.

Beliau dan suaminya dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia enam tahun. – K! ONLINE