Jururawat sempat cium tangan suami sebelum maut kemalangan


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah nasib yang menimpa Asmawi Yusoff, 45, yang baru kehilangan isteri tersayang selepas terlibat dalam kemalangan di Pekan, Pahang pada pagi Isnin.

Isteri Asmawi, Julayha Kudus, 39, yang bekerja sebagai jururawat maut di tempat kejadian selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh lori tangki dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan ke Perkampungan Orang Asli untuk lawatan kesihatan berkala.

Turut maut dalam kemalangan itu rakan sekerja Julayha yang juga pemandu kenderaan, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, manakala seorang pegawai perubatan, Muhd Ikhwan Ramlee, 29, pula dilaporkan cedera di bahagian kepala.


Asmawi berkata, dia sempat melihat jenazah isterinya terbaring di bahu jalan, selepas dihantar rakannya ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh suami kepada rakan isterinya itu.

Dia yang merupakan tenaga pengajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, turut mengikut kenderaan yang membawa jenazah ke Hospital Pekan sebelum pulang ke rumah, untuk memberitahu berita sedih itu kepada empat anak mereka yang berusia antara lima hingga 14 tahun.



“Saya mengambil masa agak lama di rumah untuk menenangkan anak-anak, sebelum kembali ke hospital bagi menguruskan jenazah. Saya tidak menyangka pagi tadi adalah kali terakhir isteri bersalam dan mencium tangan saya, yang menjadi rutin arwah sebelum keluar bekerja,” katanya.

Asmawi berkata, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Jambu di sini, selepas keluarga isterinya dari Palong, Negeri Sembilan memberi kebenaran bagi memudahkan mereka untuk menziarah.